Salam Sejahtera Bapak² dan Ibu² Semua
Semoga Hari ini merupakan hari yang baik dan sempurna untuk semua.
Esok adalah hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64, seperti yang termaktub di dalam perkara 160, Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Hari Merdeka” ertinya tiga puluh satu hari bulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh;
Perkara 160 – Perlembagaan Persekutuan Malaysia

64 Tahun yang lalu, Bapa Kemerdekaan dan juga Perdana Menteri Malaysia yang Pertama Tunku Abdul Rahman telah memasyhurkan Kemerdekaan Malaysia di Stadium Negara pada 31 Ogos 1957 tepat pada Jam 9.30 pagi.
Upacara ini disaksikan lebih dari 20,000 orang. Tunku melaungkan “MERDEKA” sebanyak 7 kali dan sekaligus menandakan berakhirnya Pemerintahan British ke atas Tanah Melayu
Source: http://www.arkib.gov.my/web/guest/pengisytiharan-kemerdekaan-tanah-melayu
Laungan 7 Kali Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman
Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan
Seperti kebanyakan negara yang lain seperti USA, Finland dan sebagainya, Malaysia, bumi yang sangat bertuah ini juga mempunyai Surat atau Watikah Pemasyhuran Kemerdekaan yang telah ditulis di dalam 2 versi, iaitu Bahasa Melayu di dalam Tulisan Jawi dan juga di dalam Bahasa Inggeris. Adapun fungsi surat ini adalah untuk memasyhurkan negara kita (pada ketika itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu), menjadi sebuah negara Merdeka lagi Berdaulat, setanding dengan negara² merdeka yang lain.

Dokumen ini ditandatangani oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Secara amnya, pada Tanggal 31-Ogos-1957, maka lahirlah sebuah negara yang Bebas dan Merdeka, ditadbir dan diperintah oleh rakyatnya sendiri. Bebas daripadaa penjajahan kuasa asing yang telah beratapak di bumi ini semenjak dari kejatuhan empayar Melaka pada tahun 1511.
Moh kita lihat apa yang tertulis pada Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 ini:
Pemasyhuran Kemerdekaan
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.
Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala perjanjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.
Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64.